‘Amalan’ Kategorisi için Arşiv

Perkongsian yang bermakna

Monday, 20 September 2010

Cerita ini sebenarnya khas untuk seorang rakan FB saya (Tuan Shamsuddin Kadir) dan juga beberapa rakan lain yang bersama-sama beraya di rumah rakan tersebut (semua mereka telah saya Tag di nota ini). Beliau adalah mentor kami. Kami semua diminta untuk berkongsikan satu tip atau cerita yang bermanfaat untuk semua orang. Jadi ini sedikit cerita daripada saya…

Semasa saya di sekolah menengah (1995-1999), keputusan PMR & SPM saya amat cemerlang. Pelajar pandai terkejut terbeliak mata sampai ada yang bertanya, “Betul ke?? Tak gurau?”. Masakan tidak, kalau peperiksaan biasa saya mahu dapat A pun susah. Saya tidaklah belajar sangat di rumah. Hanya ada masa di sekolah sahaja. Sebaik pulang dari sekolah, saya akan bantu masak dan kemas rumah untuk nenek. Petang dan malam pula ke surau belajar mengaji dan solat jemaah.

Tiba waktu tidur, semua lampu ditutup, hanya ada lampu dapur yang dijadikan ‘tempias cahaya’ untuk membelek sehelai dua buku pelajaran. Kemudian tidur. Begitulah dari tingkatan 2 sampai tingkatan 5. Rutin harian tetap sama. Tiada masa sangat untuk membaca dan mengulangkaji pelajaran di rumah. Kalau masa untuk belajar tiada, apatah lagi masa untuk jalan-jalan dan lepak-lepak seperti anak muda yang lain… Hati bertambah risau apabila masa peperiksaan besar sudah dekat.

Selepas keputusan peperiksaan keluar, tidak disangka-sangka saya tersenarai bersama pelajar-pelajar cemerlang. Hati kecil saya begitu segan dengan orang yang bijak-bijak pandai. Saya hanya terus beraksi seperti biasa seperti tiada apa-apa yang berlaku. Selepas saya masuk ke IPT, pihak sekolah mengadakan satu majlis penyampaian untuk pelajar cemerlang. Saya tidak dapat hadir, tetapi ayah saya mewakili. Saya berjaya membuat hati ayah bangga kerana beliau naik ke pentas menerima sijil penghargaan untuk saya. Itu adalah hadiah untuk dirinya yang juga banyak berjasa untuk saya.

Apa yang saya mahu katakan, kalau kita berikan pengorbanan yang ikhlas kepada orang yang kita sayang, ALLAH pasti akan balas kembali pengorbanan itu dengan sesuatu yang terbaik untuk kita. Tapi dengan syarat, ada usaha dan keinganan jugalah. Sesuatu kejayaan itu tidak akan datang bergolek atau dengan begitu sahaja tanpa sebab.

Contohnya, saya tetap menggunakan masa yang ada walau sedikit seperti semasa menunggu bas, saya baca sehelai dua buku atau nota. Saya juga ada keinginan untuk lulus dengan cemerlang walaupun kadang-kadang kerja sekolah tidak siap, ulangkaji entah ke mana dan ada subjek yang langsung tidak diberi perhatian (tapi dapat A). Saya juga sentiasa berdoa dan berharap kepada ALLAH.

Saya juga mengikuti kelas tambahan (untuk persediaan PMR) di sekolah, pada waktu malam dengan bayaran bulanan. Jarak perjalanan dalam 11-15 Kilometer menaiki kereta. Bentuk usaha lain? Saya belajar untuk menjawab ‘exam’, bukan untuk ‘pandai’. Salah satu senjata kejayaan saya adalah membaca nota-nota soalan yang dijangka keluar, terutama subjek sejarah yang saya tidak minat, tetapi akhirnya dapat A (PMR). Bagi subjek lain, saya juga fokus kepada saranan guru agar menjawab soalan dengan cara yang betul.

Tidak dinafikan juga peranan guru amat penting. Saya dapat cikgu-cikgu yang berpengalaman dalam menanda kertas jawapan peperiksaan, jadi mereka tahu cara terbaik. Subjek Matematik Moden yang pada mulanya saya GAGAL dan ‘fobia’ (pernah kena ketuk kepala dengan buku tebal semasa sekolah darjah 3 oleh cikgu Matematik), tetapi semakin menjadi ‘kacang’ (mudah) setelah mendapat cikgu yang telah merajinkan saya membuat latihan di sekolah, sehingga tengok soalan pun seperti sudah tahu jawapannya.

Itu adalah beberapa bentuk usaha yang sempat saya lakukan HANYA di sekolah. Di rumah saya tiada masa untuk fokus kepada pelajaran, mahupun kerja-kerja sekolah. Saya masih ingat saya tidak balik pada waktu petang kerana mahu belajar di perpustakaan (sekolah sesi pagi), kasut saya dicuri orang. Terpaksalah pinjam selipar kawan yang diambil dari rumahnya. Bagi seorang pelajar, hilang kasut itu adalah satu perkara yang besar, lagi-lagi perlukan duit lagi untuk beli yang baru.

Saya masih ingat sebelum peperiksaan Bahasa Arab Komunikasi (PMR 1997), saya hanya berteman pelita dalam kegelapan, untuk menghafal perkataan-perkataan yang mungkin boleh digunakan pada esok hari. Bukan tiada lampu atau elektrik, tetapi saya tidak mahu mengganggu datuk dan nenek yang tidur. Alhamdulillah, sebahagian besar perkataan yang dihafal digunakan sepenuhnya terutama dalam bahagian karangan (esei). Saya dapat A untuk subjek ini. Jadi USAHA ‘last minute’ saya itu amat membantu.

Bercakap mengenai esei bahasa Arab, guru yang mengajar subjek itu tidak percaya saya yang buat karangan itu (semasa latihan ‘live’ dalam kelas). Al-maklum, saya seorang pendiam dan tidak ‘terkenal’ seperti pelajar lain yang dikenalinya. Namun saya jadikan itu sebagai satu cabaran dengan niat di hati, “tengoklah selepas exam nanti.” Biasalah, masa tu darah muda.

Selepas dapat keputusan (PMR), saya langsung tidak menemui beliau dan mengatakan sayalah yang dapat A itu. Dalam kelas itu, hanya dua orang yang dapat A termasuk saya untuk subjek Bahasa Arab itu. Pasti beliau tertanya-tanya, siapakah gerangan Mohd Zulfadli. Apa pun, terima kasih kepada beliau yang telah mengajar dengan amat baik. Kami seronok belajar dengan beliau. Saya masih ingat ketika kelas tambahan malam, rakan saya mengajak kami ponteng. Tetapi saya dan beberapa yang lain tetap menunggu beliau masuk ke kelas.

Bercakap mengenai prinsip dan ketegasan, saya amat tegas dalam mengikuti segala arahan guru. Saya masih ingat, saya marah-marah kepada rakan baik saya (paling rapat dalam kelas) kerana beliau mahu meniru jawapan semasa ujian berlangsung. Saya amat ‘pantang’ dalam hal ini. Mungkin perilaku ini juga membantu pelajaran saya lebih berkat dan diredhaiNYA.

-CERITA TAMAT-

Kisah di atas adalah cerita 10 tahun lepas. Namun kini saya telah jauh daripada mereka (nenek dan keluarga) yang berada di kampung, saya pula di bandar. Jadi tiada ruang dan peluang untuk melakukan perkara yang sama lagi pada setiap hari seperti dulu. Ustaz yang mengajar saya mengaji Quran dan juga datuk saya, sudah lama meninggal dunia. Namun sejarah saya bersama mereka tetap tersimpul rapi. Terima kasih kepada mereka.

Berbuat baik tidak hanya kepada orang tua kita, malah kepada isteri/suami, anak-anak, adik-beradik dan saudara-mara terdekat. Bantulah mereka jika kita mampu. Saya sentiasa berpegang kepada pesanan Rasulullah SAW, di mana katanya, sebaik-baik sedekah adalah untuk ahli keluarga. Bagi saya, sedekah bukan hanya berbentuk wang, malah dalam bentuk tenaga dan masa.

Lakukanlah ia dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang. Selagi mereka masih ada di sisi kita, manfaatkan sebaik mungkin kerana kita tidak pasti peluang itu masih ada atau tidak selepas ini. Kita memang sibuk, tetapi percayalah, masa sibuk yang kita berikan sedikit kepada mereka yang amat mahal harganya, pasti akan diganti dengan sesuatu yang amat mahal (bernilai) juga oleh ALLAH SWT.

Kesimpulan:

1. Luangkan masa untuk keluarga terutama ibu bapa dan yang tersayang. ‘Berkorban’ (luangkan masa) untuk mereka.

2. Berharap kepada ALLAH, agar kita dibantu oleh-NYA kerana masa kita telah diluangkan kepada orang lain. Jadi kita perlukan bantuan daripada ALLAH agar masa yang tidak dapat lagi diganti itu, digantikan cdengan sesuatu yang terbaik seperti kemudahan atau pencapaian. Rasa berharap ini bukanlah membawa maksud tidak ikhlas atau mahukan balasan terhadap apa yang kita lakukan, tetapi ia berharap kepada ALLAH agar kita dibantu kerana kita ‘kesuntukan masa’.

3. Tidak meninggalkan solat. Berjemaah itu adalah yang terbaik terutama bagi lelaki (lakukan jika ada kesempatan).

4. Sebaik-baik sedekah adalah kepada ahli keluarga dan saudara-mara. Kemudian kepada orang lain.

5. Setiap hari jika boleh, bacalah Al-Quran walaupun beberapa ayat. Satu hadis mengatakan, orang yang ‘tersekat-sekat’ semasa belajar Al-Quran, mereka mendapat dua pahala, iaitu pahala membacanya dan pahala menanggung kepayahan.

6. Sesuatu yang dilakukan dengan ikhlas, amal mahal harganya. Maka ALLAH akan berikan juga sesuatu yang mahal (bernilai) harganya. Cuma kita tidak tahu bila masanya. Serahkan sepenuhnya kepada ALLAH.

7. Manfaatkan ruang masa sebaik mungkin walaupun beberapa minit yang terluang.

8. Jangan hiraukan kata-kata negatif orang lain. Buat sahaja yang kita rasa baik. Contohnya, saya dikritik kerana belajar ‘last minute’. Tapi saya belajar juga tanpa mengendahkan mereka kerana saya tahu apa yang saya buat. Hanya kita yang tahu keadaan sebenar diri kita. Mungkin sesuatu itu tidak bagus untuk orang lain, tetapi perlu untuk kita.

Itu sahaja daripada saya. Semoga cerita ini bermanfaat untuk semua. Tiada niat untuk riak (semoga Allah menjauhkan perasaan ini), tetapi cerita sebenar saya ini mungkin boleh dikaji dan direnungkan bersama. Bagaimana saya seorang pelajar yang tidak banyak belajar di rumah, tetapi boleh berjaya seperti pelajar pandai yang lain. Saya tahu ramai lagi pelajar sekolah lain seperti saya (berbuat baik kepada keluarga dan ada usaha), tetapi mereka tidak mendapat keputusan yang baik. Agaknya mengapa?

Salah satu jawapan terbaik yang pernah saya perolehi daripada satu pembacaan buku,“Masa untuk mereka belum tiba. ALLAH lebih tahu masa yang terbaik untuk setiap hambaNYA. Ramai orang yang berdoa dan menentukan masa untuk sesuatu, padahal itu bukan ‘hak’ mereka untuk menentukan. Ia adalah kerja ALLAH.”

Jadi teruskan berusaha, berdoa, berharap dan bersabar. Kita hanya boleh meminta, berdoa dan berharap, tetapi tidak boleh ‘memaksa’ ALLAH mengikut kehendak kita.

SEKIAN.

-MZ-

sumber asal : http://www.facebook.com/home.php?#!/notes/mohd-zulfadli/cerita-saya/488534866200

Related Articles:




    kredit kepada Rita NM